CORETAN PENDIDIK

KUDRAT SEORANG PENDIDIK

 Air mineral yang berbaki separuh di dalam botol habis diteguk. Gadafi menghela nafas panjang, sambil menyusun nafas yang telah tercungap-cungap. Di bahu kanan dia memikul kemas polo beg yang penuh berisi barang keperluan harian yang boleh bertahan kira-kira sebulan. Langkah kakinya dihayun perlahan-lahan, semakin lama berjalan semakin laju peluh berkejaran ke bumi. Pedih juga terasa titisan peluh menitis  ke mata, pedihnya masih boleh ditahan, raungan keringat menyelubungi suluruh badan. Tuala kecil yang dibawanya terbelit dileher sejak awal perjalanan memerangkap peluh keluar yang mulanya kering sudah lembab. Sesekali tersadung akar-akar kecil merintangi laluan,  ungka, burung-burung sayup bersiulan seolah-olah melaungkan marhaban-marhaban ya ustaz.  Dia ingin beristirehat namun awan hitam yang memayungi hutan hujan tropika  memberi amaran supaya meneruskan hayunan kaki. Beliau sudah tidak mahu mengira berapa bukit yang telah di daki, berapa lembah yang telah dilalui, berapa denai yang telah dijajahi. Apa yang pasti, jam ditangan membuktikan lebih 2 jam beliau di situ. Tidak seperti pemandu arah yang ditugaskan tidak kelihatan penat diwajah, puri-puri kulit seperti tidak membenarkan peluh mereka keluar. Gadafi menguatkan langkah ingin mendapatkan kepastian supaya cepat tiba ke destinasi.

Masih jauh perjalanan yang bakal dilalui bersama tiga orang penduduk masyarakat Murut. Felix, Nge, dan Atong pemuda dari suku Murut telah datang menjemput beliau di Bandar Kapit. Dunia yang amat asing baginya, pertama kali menjejakkan kaki ke tanah Raja Brook berdekad yang lalu. Mengimbau ketika Gadafi berada di Kampung Paya Pulai, Temerloh, Pahang. Menjadi harapan orang kampung akan ketokohan bapanya Haji Ismail sebagai ketua kampung mengalir dalam jiwa Gadafi. Selaku imam, selaku tempat rujukan selaku guru agama melengkapkan gelaran Ustaz Gadafi. Panggilan ustaz melekat pada dirinya kanak-kanak kecil, remaja, dewasa, orang tua, murid-murid memanggil beliau ustaz Dafi. Di sekolah menengah  agama rakyat atau madarasah  yang serba daif ini, Gadafi memulakan langkah sebagai pendidik. madrasah ini menjadi pusat ilmu bagi penduduk setempat, anak-anak yang tidak berkemampuan untuk belajar sekolah dibandar akan memilih untuk menetap di sini. begitu juga anak yatim yang amat memerlukan pendidikan. Harinya bermula sebagai  imam bagi jemaah subuh. Setelah keuzuran bapanya sebagai imam  di masjid berdekatan rumahnya, beliaulah pengganti sepenuh masa bagi waktu subuh isyak dan magrib. Setibanya di madrasah pada jam 7.25 setiap pagi, beliau terus mengingati jadual waktu yang diberikan kepadanya. sudah menjadi kebiasaan dia akan menghafal setiap waktu dan kelas yang bakal di datangi. Kekurangan yang ada di madrasah berkenaan menjadi cabaran besar dalam dirinya sebagai orang baru di situ. Buku-buku teks pelajar kelihatan begitu lusuh masih digunakan, keperluan murid tidak semewah di tempat lain, tandas, bilik tidur, kantin, hanya sekadar memenuhi keperluan bukan kehendak.  Namun semangat yang ditunjukkan oleh pelajar dan kedaifan di sini memberikannya sentuhan ajaib untuk beliau terus berbakti.  Sekiranya mahu dikira akan ganjaran rm 450 sebulan bukanlah timbangan kepada kudrat yang diberikan. “ Ini ustaz sedekah buku pada kamu semua, gunakan sebaik mungkin, ada pen juga pensel” kata ustaz Gadafi. ketika memberikan pelajarnya buah tangan dari bandar. Di raut wajah mereka girang tidak terhingga, tidak putus-putus memberikan ucapan terima kasih.

Saban hari Gadafi semakin terasa akan dunia Madrasah yang dihuninya ini telah menjadi sebahagian dari dirinya. Walaupun ganjaran diterimanya tidak seberapa tapi cukup untuk kehidupanya di kampung bersama orang tua. Di dalam hatinya ilmu yang telah disirami ke atas pelajarnya sedikit sebanyak menjadi bekalan untuk hari mendatang. beliau bebas bersyarah memberikan penerangan agar mereka faham. Dia kini berasa puas ilmu yang ditimbanya dicurahkan kembali kepada pelajarnya. Setelah menamatkan pengajian di Institut Ar Ranirie Banda Aceh setahun lalu,di sinilah bermulanya Gadafi bertapak. untuk menjadi seorang pendidik sejati. Berita kekurangan dana begitu meresahkan para guru dan pentadbir di sini. Setelah lebih dari 20 tahun madrasah ini memberikan khidmat kepada masyarakat, ini sudah kali ke berapa  kedengaran isu pengambilan pelajar bakal dikurangkan. madarasah tidak lagi mmpu menampung kos yang semakin meningkat. Derma- derma, bantuan masyarakat dan sumbangan koperat semakin berkurangan disebabkan kegawatan ekonomi melanda. Ustaz Gadafi orang muda berkelulusan luar negara, bakal diberi surat perletakan jawatan. walaupun hatinya begitu berat, tatapi untuk kepentingan madarasah, beliau akur.  

Keputusan penempatan KPLI 2005 telah membawa Gadafi menyeberangi Laut China Selatan. Perkhabaran ini diterimanya dengan hati yang terbuka, namun ada sekelumit resah di simpan untuk bekalan dirinya. Setelah restu kedua orang tua dipinta,  sebahagian besar penduduk agak terkilan dengan pemergian ini kerana sebagai kehilangan besar buat masyarakat setempat.   Memulakan perjalanan dari KLIA, transit pertama di Kuching kemudian di Sibu dan kini sedang meredah denai hutan sempadan Kalimantan Barat. Melalui Sungai Rajang, bot panjang yang sarat dengan muatan menyusuri hulu sungai yang berdebu kelihatan cucu-cicit bujang senang berjemur di tebing.Tekong bot seperti sudah biasa dengan keadaan ini. Hasil pencarian ini digunakan untuk menyara kehidupan, tidak pernah ada perasaan gusar atau resah pada mereka, mencari sesuap nasi mereka sanggup hadapi apa saja.  Mungkinkah di sini pernah berlaku tragedi berdarah. Pernah juga terbaca tulisan di dada-dada akhbar keganasan bujang senang setelah sekian lama. Berderau darah apabila mengingati keganasan sang bedal di sungai Sarawak. Wajah orang tersayang mula tergambar di kotak fikiran, persoalan demi persoalan bertali arus menyemakkan. Adakah tindakan yang dilakukan ini sukarela atau paksaan? Sekiranya apa-apa buruk berlaku kepadanya bagaimana perasaan orng tuanya. Adakah sebegini tugasan yang harus aku lalui?  Adakah sahabat-sahabat seperjuangan yang lain menerima nasib yang sama? Segalanya diserahkan pada perancangan Tuhan. Dia bertekad ingin sampai ke tempat tujuan secepat mungkin.  Lamunan Gadafi tersentak oleh pecikan air apabila bot sepanjang 20 meter itu terhayun membelah arus besar sekali sekali menghentam di sisi.  Setelah satu jam mengharungi laluan air kelihatan beberapa penduduk melambai-lambai bot yang dinaiki. Alhamdulillah…berkali-kali kalimah tahmid ini membasahi bibirnya. Setelah di kejutkan dengan tragedi buaya beliau tidak putus berdoa akan keselamatannya dan menyerahkan segalanya kepada Allah.

Tiba-tiba ketua pemandu arah Felix mencapai beg di bahu seraya berkata “ kita perlu lebih pantas hujan sedang mengejar kita di belakang sekiranya kita perlahan air di hulu akan membesar dan akan membantutkan laluan kita”. Kini beban di badan telah dipikul Felix, Gadafi boleh memecut lebih pantas tanpa muatan, namun semakin lama berjalan semakin lemah dirasai. Tapak kakinya mulai terasa sakit-sakit hingga ke betis dan paha. Dalam hatinya bertekad, pecutan terakhir perlu terus ke destinasi. Demi amanah yang di pikulnya dia alah bisa tegal biasa. Terpancar di hadapannya laluan denai yang semakin besar, seperti kawasan itu berpenghuni. Ternyata destinasi semakin hampir kepadanya, perlahan-lahan dia mengatur langkah menuruti gaya orang Murut. Bumbung-bumbung rumah kelihatan semakin hampir, akhirnya mereka tiba ke Desa Long Busung. “syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Bola matanya meliar mencari di mana papan tanda “ Sekolah Kebangsaan Long Busung”

Ustaz Dafi diberikan penempatan di stor sukan Sekolah Kebangsaan Long Busung lengkap dengan sebidang tikar dan tilam serta selimut. Kemudahan di sini amat terhad,tiada talian telefon, bermandikan air telaga yang dipam siang tadi dan tiada bekalan elektrik pada waktu malam. Dia terdiam sejenak, agak kusut apabila memikirkan perhubungan dengan pihak luar terputus. Ini bermakna dia akan terputus hubungan dengan orangtuanya. Selesai memunaikan solat Magrib, seorang rakan sekerja datang menjengah. Ketukan pintu dan salam memecah sunyi malam yang diselimuti kegelapan. Selesai bercerita sesama mereka, sahabatnya memohon untuk pulang. Beliau sentiasa berpegang dengan nasihat ayahnya Haji Ismail, “ di mana kita berada sentiasa ingat Allah bersama kita, lebih-lebih lagi orang yang ingin menyebarkan agamanya, pertolongan Allah akan hadir dalam apa jua bentuk”. Diselangi pesanan Timbalan Pengarah SPIN Sarawak, sebelum bertolak siang tadi. Katanya,“ Ustaz..anta kena pergi ke sana tau, jangan tak pergi, walaupun di sana memang tak ada orang Islam, tapi anta kena lakukan yang terbaik untuk berdakwah, tarik mereka kepada Islam”  Gadafi terlena kepenatan.

   Kokokan ayam jantan berkali-kali  diselangi dengan salakan anjing menyejutkan Gadafi dari tidurnya yang panjang. Jam menunjukkan 6.30 pagi, biasanya di kampung dia telah berada di masjid memberikan kuliah kepada jemaah subuh kemudian ke madrasah. keadaan di sini tidak banyak bezanya dengan madrasah. Kelengkapan masih sederhana memadangkan ini adalah SKM ( sekolah kurang murid). kehadiran di catatkan sekitar 10 ke 20 org murid sahaja sehari. Sudah sebulan dia berada di belantara menjadi perajurit rimba, menggalas buku-buku sekolah dan amanah yang diberikan. Beliau masih lagi berperang dengan perasaan dan persepsi masyarakat terhadap beliau, seorang guru muslim yang berada dalam kelompok manusia yang tidak mengenal Islam. Kehadiran beliau di SK Long Busung ini, memberikan tanggapan baru masyarakat terhadap orang Islam, teladan yang ditujukkan amat berbeza sekali dengan guru-guru sedia ada. Ada juga dia bertandang ke rumah muridnya kaum Murut, ditemani rakan, berbahasa pun kurang difahami, bertanyakan aktiviti anak mereka di rumah, memberikan sedikit sumbangan dan adakalanya membantu murid membuat kerja rumah. Ketokohan yang di warisi dari ayahnya memudahkan lagi dia berdamping dengan penduduk di sana. Teringat juga dia kepada murid-murid, masyarakat kampung yang pernah menimba ilmu darinya, mereka begitu bertekun dan sayang kepadanya. Diberikan hadiah kain pelekat, baju melayu, durian, langsat bila tiba musim buah-buahan sehingga bertimbun di rumahnya. Kini dia berada adalam masyarakat yang jauh berbeza, memerlukan kudrat untuk memberikan mereka ilmu, rumah ke rumah perlu di hadiri saban kelapangan diri.

Sudah lebih 2 tahun ustaz Gadafi bermustautin di belantara Sarawak ini, menjadi perajurit bangsa. tidak pernah jemu menabur bakti untuk manusia. setahun sekali dia menjengah kaum keluarga di kampung. tidak pernah sekalipun perasaannya berat untuk kembali semula ke belantara. Restu ayah bonda menjadi azimat berguna untuk berbakti. walaupun beliau tidak mengajar mata pelajaran agama Islam, namun pembawakan yang dia miliki berjaya menarik minat sebilangan penduduk Long Busung. 20 orang penduduk menjadi pengikut setia. melafazkan kalimah syahadah dihadapanya. secara tidak langsung penduduk mula menerima Islam. Mereka menggelarkanya ustaz Gafi. Syukur tidak terhingga dipanjatkan ke pada yang Maha Esa. Amin..


Sepucuk surat dari Jabatan Pendidikan Sarawak membawa berita, disebabkan hari ke hari murid berkurangan, pihak perwajib telah membina asrama untuk pelajar di bandar Kapit. Keputusan ini telah lama diduga oleh sebilangan guru. Ustaz Gafi yang baru dua tahun berkhidmat kini akan berpindah angin ke tempat lain pula. selesai bersalaman dan majlis perpisahan diadakan bersiap lah semua kelengkapan ingin dibawa pulang. Ustaz gafi seperti tidak mahu meninggalkan ladang bajakannya yang hampir dituai. berderai juga akhirnya manik-manik jernih dari mata seorang ustaz yang ikhlas berbakti. Di peluknya satu persatu rakan  saudara Islamnya. sambil membisikkan ke telinga mereka, “ cahaya sudah bersuluh dalam diri jangan padamkannya, ingat Allah bersama kita” Felix, Nge dan Atong seperti tidak mahu melepaskan pemergian Ust Gafi, pelbagai jenis cenderamata di terima dari penduduk kampung sebagai tanda terima kasih mereka. Di berharapkan saudara yang pandai-pandai akan mengajar rakan-rakan yang lain. Ditatap wajah anak muridnya satu persatu, masih kecil, mereka akan ditempatkan di asrama tidak lama lagi. 

No comments:

Post a Comment