Monday 27 January 2014

GURU & ILMU

GURU BERILMU 

Ilmu bermaksud pengetahuan dan orang yang berilmu adalah orang yang berpengetahuan tinggi. Imbuhan  ber di hadapan perkataan ilmu seperti  terdapat pada perkataan  berkasih, beranak dan bermimpi yang sentiasa menunjukkan kepunyaan dan hak. Namun begitu, sering kita menyebut perkataan alim untuk menunjukkan seseorang yang berilmu. Kalimah ilmu (       ) berasal dari kalimah bahasa Arab yang sangat sinonim dengan lidah Melayu dan telah dipertuturkan sejak sekian lama. Antara perkataan lain yang terhasil dari kalimah ilmu ini seperti kalimah ilmuan, ulama’, ilmiah dan sebagainya.

Seseorang yang berilmu akan dipandang tinggi oleh kebanyakan lapisan masyarakat dan diletakkan pada satu martabat yang istimewa di kalangan mereka. Dalam apa bidang sekalipun orang berilmu akan mendapat tempat yang istimewa. Ini menunjukkan betapa hebatnya persepsi masyarakat terhadap orang yang berilmu. Ini kerana kelebihan orang berilmu akan dapat merubah manusia dari seorang yang buta menjadi celik,  seorang yang bergelap dalam kesesatan kepada cahaya suluhan ilmu yang terang menderang dan dari lumpuran noda dan dosa kepada kesucian jiwa serta berhidayah kembali kepada-Nya.

Saranan kepada menjadi orang yang berilmu merupakan perkara yang utama untuk menjadikan  manusia yang sebenar- benar makhluk. Pertamanya kewajipan manusia adalah mengenal Allah dan hanya dengan ilmu manusia dapat mengenal Allah. Al Quran dan sunnah adalah sumber ilmu yang utama bagi umat manusia khususnya orang-orang Islam.  Nabi Muhammad SAW menegaskan untuk mendapatkan dunia hanya dengan berilmu, untuk mendapatkan akhirat hanya dengan berilmu dan untuk mendapatkan keduanya hanya dengan berilmu. Di samping itu, Al Ghazali berpendapat ilmu tidak dapat dipisahkan dengan hakikat dan kebenaran. Menurut beliau ilmu adalah sama dengan kefahaman agama dan kemahiran-kenahiran untuk hidup.

Konsep ilmu yang baik adalah ilmu yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Al Ghazali mengklasifikasikan ilmu kepada ilmu fardhu ain ( ilmu agama ) dan ilmu fardhu kifayah (perniagaan, perubatan). Seseorang yang menyempurnakan dalam dirinya perkara-perkara fardhu ain, nescaya amalan-amalan kifayahnya akan menjadi lebih baik. Sepertimana solat dapat mencegah dari melakukan kemungkaran.

Berilmu Dalam Profesion Perguruan

Guru adalah ahli masyarakat yang berilmu yang mempunyai hubungan langsung dengan pendidikan dipelbagai peringkat. Di peringkat sekolah, guru mengajarkan tiga  jenis ilmu bidang  kepada pelajar iaitu, ilmu kemanusiaan ( mengira, membaca, menulis), ilmu manusia dan sekeliling ( ilmu agama, moral ) dan kesenian rekreasi ( muzik, jasmani, seni). Kelengkapan ilmu dalam bidang-bidang ini merupakan keperluan yang asas kepada setiap guru. Pembelajaran guru secara berterusan perlu untuk meningkatkan kecekapan diri dari semasa ke semasa. Ini kerana perubahan sosioekonomi akan merubah keperluan ilmu yang disampaikan. Begitu juga ledakan pengetahuan di peringkat  global memberi kesan langsung kepada bidang pendidikan. Setiap maklumat sentiasa berada dihujung jari kita. Persedian guru amat perlu kerana rantaian ilmu ini berterusan dan kadangkala jauh meninggalkan kita.  Ledakan TMK menuntun guru supaya dapat menguasai teknologi ini dalam pengajaran  dan pembelajaran. Contohnya kemahiran guru mengunakan aplikasi microsoft untuk mempersembahkan bahan pengajaran dan guru menggunakan e-mail sebagai medium komunikasi dengan pelbagai pihak. Selain memberi kemudahan kepada para guru ia juga dapat menarik minat pelajar dan kefahaman mereka.  

            Di samping itu sumber-sumber yang dibekalkan oleh pihak Kementerian Pelajaran perlu digunakan secara optimum untuk menjamin keberkesanan dan kecekapan dalam pendidikan. Misalnya penyedian webtv pendidikan adalah salah satu sumber yang bermanfaat kepada guru. Laman web pendidikan serta pautan kepada sumber bahan bantu mengajar boleh digunakan oleh guru untuk meningkatkan keberkesanan PnP.   


            Seorang guru perlu mengadaptasikan dirinya sebagai pengamal ilmu yang baik. Mengusai bidang ilmunya sebaik mungkin atau pakar dalam bidangnya di samping ilmu-ilmu yang lain. Penguasaan guru dalam pelbagai bidang akan menjadi nilai tambah dalam profesionnya. Contohnya guru pendidikan Islam berkemahiran dalam bidang TMK, sukan, olahraga serta aktiviti luar sekolah. Ini menjadikan guru itu fleksibel dan dinamik. Selain itu untuk peningkatan kendiri, guru sangat digalakkan untuk mendalami bidang yang diajar dangan menyambung pengajian diperingkat yang lebih tinggi. Penyelidikan atau kajian kes di sekolah wajar dilakukan oleh setiap guru kerana hanya dengan kajian sebegini permasalahan dapat dikenalpasti dan diatasi.

No comments:

Post a Comment