Monday 27 January 2014

GURU & ILMU

GURU BERILMU 

Ilmu bermaksud pengetahuan dan orang yang berilmu adalah orang yang berpengetahuan tinggi. Imbuhan  ber di hadapan perkataan ilmu seperti  terdapat pada perkataan  berkasih, beranak dan bermimpi yang sentiasa menunjukkan kepunyaan dan hak. Namun begitu, sering kita menyebut perkataan alim untuk menunjukkan seseorang yang berilmu. Kalimah ilmu (       ) berasal dari kalimah bahasa Arab yang sangat sinonim dengan lidah Melayu dan telah dipertuturkan sejak sekian lama. Antara perkataan lain yang terhasil dari kalimah ilmu ini seperti kalimah ilmuan, ulama’, ilmiah dan sebagainya.

Seseorang yang berilmu akan dipandang tinggi oleh kebanyakan lapisan masyarakat dan diletakkan pada satu martabat yang istimewa di kalangan mereka. Dalam apa bidang sekalipun orang berilmu akan mendapat tempat yang istimewa. Ini menunjukkan betapa hebatnya persepsi masyarakat terhadap orang yang berilmu. Ini kerana kelebihan orang berilmu akan dapat merubah manusia dari seorang yang buta menjadi celik,  seorang yang bergelap dalam kesesatan kepada cahaya suluhan ilmu yang terang menderang dan dari lumpuran noda dan dosa kepada kesucian jiwa serta berhidayah kembali kepada-Nya.

Saranan kepada menjadi orang yang berilmu merupakan perkara yang utama untuk menjadikan  manusia yang sebenar- benar makhluk. Pertamanya kewajipan manusia adalah mengenal Allah dan hanya dengan ilmu manusia dapat mengenal Allah. Al Quran dan sunnah adalah sumber ilmu yang utama bagi umat manusia khususnya orang-orang Islam.  Nabi Muhammad SAW menegaskan untuk mendapatkan dunia hanya dengan berilmu, untuk mendapatkan akhirat hanya dengan berilmu dan untuk mendapatkan keduanya hanya dengan berilmu. Di samping itu, Al Ghazali berpendapat ilmu tidak dapat dipisahkan dengan hakikat dan kebenaran. Menurut beliau ilmu adalah sama dengan kefahaman agama dan kemahiran-kenahiran untuk hidup.

Konsep ilmu yang baik adalah ilmu yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Al Ghazali mengklasifikasikan ilmu kepada ilmu fardhu ain ( ilmu agama ) dan ilmu fardhu kifayah (perniagaan, perubatan). Seseorang yang menyempurnakan dalam dirinya perkara-perkara fardhu ain, nescaya amalan-amalan kifayahnya akan menjadi lebih baik. Sepertimana solat dapat mencegah dari melakukan kemungkaran.

Berilmu Dalam Profesion Perguruan

Guru adalah ahli masyarakat yang berilmu yang mempunyai hubungan langsung dengan pendidikan dipelbagai peringkat. Di peringkat sekolah, guru mengajarkan tiga  jenis ilmu bidang  kepada pelajar iaitu, ilmu kemanusiaan ( mengira, membaca, menulis), ilmu manusia dan sekeliling ( ilmu agama, moral ) dan kesenian rekreasi ( muzik, jasmani, seni). Kelengkapan ilmu dalam bidang-bidang ini merupakan keperluan yang asas kepada setiap guru. Pembelajaran guru secara berterusan perlu untuk meningkatkan kecekapan diri dari semasa ke semasa. Ini kerana perubahan sosioekonomi akan merubah keperluan ilmu yang disampaikan. Begitu juga ledakan pengetahuan di peringkat  global memberi kesan langsung kepada bidang pendidikan. Setiap maklumat sentiasa berada dihujung jari kita. Persedian guru amat perlu kerana rantaian ilmu ini berterusan dan kadangkala jauh meninggalkan kita.  Ledakan TMK menuntun guru supaya dapat menguasai teknologi ini dalam pengajaran  dan pembelajaran. Contohnya kemahiran guru mengunakan aplikasi microsoft untuk mempersembahkan bahan pengajaran dan guru menggunakan e-mail sebagai medium komunikasi dengan pelbagai pihak. Selain memberi kemudahan kepada para guru ia juga dapat menarik minat pelajar dan kefahaman mereka.  

            Di samping itu sumber-sumber yang dibekalkan oleh pihak Kementerian Pelajaran perlu digunakan secara optimum untuk menjamin keberkesanan dan kecekapan dalam pendidikan. Misalnya penyedian webtv pendidikan adalah salah satu sumber yang bermanfaat kepada guru. Laman web pendidikan serta pautan kepada sumber bahan bantu mengajar boleh digunakan oleh guru untuk meningkatkan keberkesanan PnP.   


            Seorang guru perlu mengadaptasikan dirinya sebagai pengamal ilmu yang baik. Mengusai bidang ilmunya sebaik mungkin atau pakar dalam bidangnya di samping ilmu-ilmu yang lain. Penguasaan guru dalam pelbagai bidang akan menjadi nilai tambah dalam profesionnya. Contohnya guru pendidikan Islam berkemahiran dalam bidang TMK, sukan, olahraga serta aktiviti luar sekolah. Ini menjadikan guru itu fleksibel dan dinamik. Selain itu untuk peningkatan kendiri, guru sangat digalakkan untuk mendalami bidang yang diajar dangan menyambung pengajian diperingkat yang lebih tinggi. Penyelidikan atau kajian kes di sekolah wajar dilakukan oleh setiap guru kerana hanya dengan kajian sebegini permasalahan dapat dikenalpasti dan diatasi.

Saturday 25 January 2014

IKHLAS DALAM PROFESION PERGURUAN

IKHLAS

Tatabahasa Arab mengkategorikan kalimah ini sebagai masdar yang  berasal dari perkataan bahasa Arab terbina dari kata dasar kholaso خلص   dan أخلص  yang menghasilkan masdar ikhlaason  إخلاصا. Penggunan perkataan ikhlas ini begitu meluas dalam bahasa Melayu sehinggakan kita tidak menyedari bahawa ikhlas ini adalah bahasa asing. Bahasa Melayu menggunakan kata masdar ikhlas  sebagai kata kerja yang menunjukkan kejujuran dalam melakukan kerja, perihal akan kejujuran dan juga kata sifat. Ikhlas menunjukkan ketulusan atau kejujuran melakukan sesuatu pekerjaan. Al Quran telah menerangkan maksud dari kata dasar ikhlas mengikut konteks ayat, antaranya kesucian, istimewa, jujur, terpilih yang bermaksud:


“ kecuali orang-orang yang taubat dan Mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka karena Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar”. -  Annisa’ ayat 146

Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan atau tugasan dengan sepenuh hati, jujur dan tulus. Ikhlas adalah satu kriteria untuk menentukan  samada  diterima atau ditolaknya amal ibadah seseorang.  Bagi perkara-perkara duniawi kita  melakukan tugasan sebaik mungkin tidak mengharapkan balasan dari manusia kerana imbuhan dan pujian dari manusia hanya bersifat sementara. Walaupun pekerjaan diberikan upah yang setimpal, ia bukanlah pengukur kepada ikhlas. Upah adalah insentif yang diterima  apabila selesai melakukan tugas, namun ikhlas menjadi cecair yang merubah seluruh pekerjaan menjadi emas yang boleh dituai di akhirat kelak.   Justeru  itu, apa yang perlu dititikberatkan adalah balasan  pahala Allah adalah menjadi keutamaan. Ketika mana Allah menjadikan Adam a.s, iblis bertekad untuk menyesatkan keturunan manusia, namun seruan jahat iblis tidak akan berjaya  kepada orang-orang yang ikhlas kepada Allah. Sifat ikhlas berkait rapat dengan konsep ihsan yang mana menitikberatkan akan kewujudan Allah dalam segenap sudut pekerjaan yang dilakukan. Islam meletakkan semua pekerjaan yang baik adalah ibadah yang dikira ganjaran oleh Allah. Pokok pangkalnya adalah dari hati yang ikhlas.   
Ikhlas dalam Profesion Perguruan

Seorang guru yang ikhlas beriktikad dalam hati untuk mencari mardhatillah. Kemuliaan seorang guru apabila menjalankan tugasan dengan tulus ikhlas, jujur dan bertanggungjawab. Guru mempunyai niat yang ikhlas akan mengajar murid ilmu-ilmu yang baik, mendidik ke arah kecemerlangan , membimbing dengan sepenuh daya  dan memberi tunjuk ajar yang berguna. Dalam profesion perguruan, ikhlas adalah sifat yang perlu disemai dalam setiap diri guru agar dapat menjauhi sifat-sifat mazmumah. Contohnya, bersifat hasad dengki, mementingkan diri dan individualistik. Guru yang ikhlas akan sentiasa menjaga keharmonian sekeliling ditempat kerja, bekerja dalam keadaan tenang, membantu rakan sekerja apabila diperlukan, memberikan persembahan yang terbaik kepada pelajar dan mempunyai ketahanan yang tinggi kepada segala bentuk ujian dalam menjalankan tugas. Ikhlas menjadi penawar mujarab untuk menghilangkan sifat-sifat buruk  dalam diri.


Guru melakukan tugas dengan rela hati mengikut kemampuan guru tersebut adalah sebahagian dari ikhlas dalam pekerjaan. Tugasan ini diangap sebahagai sumbangan kepada institusi dan pelajar yang tidak mengharapkan apa-apa balasan dari orang lain. Contohnya seorang guru menjalankan kelas tuisyen secara percuma pada waktu lapang, menjemput pelajar datang ke rumah untuk mengulangkaji pelajaran, melakukan tugas selain dari tugas hakiki di sekolah dan sebagainya.  Selain itu, guru yang ikhlas akan sentiasa memastikan setiap tugasan yang diterima dijalankan dengan sempurna berlumba menjadikan yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Contohnya guru di sekolah menyiapkan markah ujian murid secepat mungkin dengan sempurna dan dihantar kepada pihak pentadbir pada masa yang ditetapkan.   Apa yang bermain dalam fikiran guru ini adalah segala kebaikan yang dibuat akan kembali memberi kesan kepada dirinya sendiri kelak. Menjadikan setiap pekerjaan adalah ibadah adalah kunci kepada keikhlasan dan redho  Allah. Apabila jiwa seorang guru ikhlas, nescaya Allah akan  mempermudahkan pelajar menerima ilmu yang diajarkan.           

Thursday 23 January 2014

Amanah Guru

Amanah Dalam Profesion Perguruan

Ciri-ciri seorang yang munafiq adalah mengkhianati amanah yang diberikan. Pengajaran adalah satu amanah yang diberati ke atas setiap orang yang bergelar guru samada secara formal atau tidak formal. Guru perlu menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berakauntabiliti untuk melunaskan amanah yang diberi dengan sepenuh kudrat.  Akauntabiliti juga adalah cabang amanah  seorang guru terhadap pekerjaan, terhadap sekolah, terhadap profesion dan terhadap pelajar.  Tugasan seorang guru tiada penghujungnya dan menjangkaui segala aspek kehidupan di tempat kerja mahupun di luar tempat kerja. Tugas rasmi adalah amanah yang dipikul di institusi, manakala tugas diluar rasmi berlangsung sepanjang masa ketika di rumah atau dalam masyarakat.
            Selain itu, guru mempunyai amanah terhadap sumber yang dibekalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia seperti kelengkapan dan kemudahan fizikal yang bertujuan untuk menjamin kelancaran proses pendidikan negara. Segala kemudahan ini perlu dijaga oleh guru dengan sebaik mungkin dan menggunakan hanya untuk kepentingan tugas rasmi sahaja. Menggunakan kemudahan institusi untuk kepentingan diri harus dielakkan kerana ia juga adalah satu amanah. Contohnya, guru menggunakan mesin cetak atau bilik-bilik khas  untuk tujuan peribadi adalah bertentangan dengan hak keperluan guru.

            Setiap guru merupakan pemimpin terhadap orang-orang bawahan. Terutamanya pelajar adalah anak kepada seorang guru. Pemimpin diberikan kuasa untuk melicinkan perjalanan sesuatu pekerjaan. Guru yang diamanahkan dengan kuasa perlu mensasarkan  kuasa tersebut di tempat yang betul. Begitu juga kuasa tesebut tidak harus digunakan untuk tujuan yang bersifat peribadi dan  yang bukan memberi faedah kepada pelajar mahupun institusi. Contohnya seorang guru mengarahkan pelajar untuk mengutip derma untuk keperluan dirinya. Tindakan ini amat bertentangan dengan etika keperibadian guru yang beramanah. Disamping itu, setiap guru diamanahkan dengan jangkamasa tertentu untuk mengajar. Kepatuhan terhadap waktu yang diberikan adalah amanah yang sangat signifikan. Peraturan menjaga waktu sangat dititikberatkan oleh setiap institusi untuk menjamin kelancaran kerja. Umpamanya bagi guru,  waktu datang, waktu mengajar, waktu rehat, waktu pulang dan waktu tambahan mengikut keperluan semasa. Setiap detik waktu ini, dikira sebagai detik tanggungjawab guru, di mana guru harus berada pada masa-masa yang telah ditetapkan. 

Tuesday 21 January 2014

AMANAH DALAM HIDUP


 AMANAH DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

Perkataan amanah  diklasifikasikan  dalam rumpun masdar ( kata terbitan ) bahasa Arab dari kalimah amuna, ya’manu, amanatan. (أمانة أمن  يأمن   (. Perkataan amanah juga telah menjadi sebahagian dari  bahasa Melayu dan telah dipertuturkan setelah sekian lama. Banyak kalimah yang tumbuh dari kata dasar أمن  , antaranya, aman, iman, makmum, amin dan  mukmin. Al Quran menyebut 535 kali perkataan ءامن  dalam konteks yang berbeza, antaranya membawa erti selamat, percaya dan  kepercayaan  Petikan dari ayat Al Quran  telah memberikan maksud amanah dalam , surah Al Ahzab ayat ke 33.
“ Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”
Amanah adalah kepercayaan dan tanggungjawab  yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga akan sesuatu perkara tidak kira sama ada ia bersifat nyata atau tidak nyata. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut olehNya. Melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur. Mengkhianati amanah adalah satu kederhakaan kepada Allah.  Yang kedua adalah amanah kita sesama makhluk dengan menunaikan segala tanggungjawab yang telah diberikan dengan sebaik mungkin. Menjadi kesalahan yang besar apabila kita gagal menunaikan amanah yang diberikan.

 Al Ghazali pernah menyatakan, “ perkara yang paling ringan adalah meninggalkan solat dan perkara yang paling berat adalah amanah.” Agama Islam dan Al Quran sebagai amanah, tentulah perkara yang bersifat amanah ini suatu perkara yang paling besar diletakkan di bahu setiap umat manusia.