Saturday 25 January 2014

IKHLAS DALAM PROFESION PERGURUAN

IKHLAS

Tatabahasa Arab mengkategorikan kalimah ini sebagai masdar yang  berasal dari perkataan bahasa Arab terbina dari kata dasar kholaso خلص   dan أخلص  yang menghasilkan masdar ikhlaason  إخلاصا. Penggunan perkataan ikhlas ini begitu meluas dalam bahasa Melayu sehinggakan kita tidak menyedari bahawa ikhlas ini adalah bahasa asing. Bahasa Melayu menggunakan kata masdar ikhlas  sebagai kata kerja yang menunjukkan kejujuran dalam melakukan kerja, perihal akan kejujuran dan juga kata sifat. Ikhlas menunjukkan ketulusan atau kejujuran melakukan sesuatu pekerjaan. Al Quran telah menerangkan maksud dari kata dasar ikhlas mengikut konteks ayat, antaranya kesucian, istimewa, jujur, terpilih yang bermaksud:


“ kecuali orang-orang yang taubat dan Mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka karena Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar”. -  Annisa’ ayat 146

Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan atau tugasan dengan sepenuh hati, jujur dan tulus. Ikhlas adalah satu kriteria untuk menentukan  samada  diterima atau ditolaknya amal ibadah seseorang.  Bagi perkara-perkara duniawi kita  melakukan tugasan sebaik mungkin tidak mengharapkan balasan dari manusia kerana imbuhan dan pujian dari manusia hanya bersifat sementara. Walaupun pekerjaan diberikan upah yang setimpal, ia bukanlah pengukur kepada ikhlas. Upah adalah insentif yang diterima  apabila selesai melakukan tugas, namun ikhlas menjadi cecair yang merubah seluruh pekerjaan menjadi emas yang boleh dituai di akhirat kelak.   Justeru  itu, apa yang perlu dititikberatkan adalah balasan  pahala Allah adalah menjadi keutamaan. Ketika mana Allah menjadikan Adam a.s, iblis bertekad untuk menyesatkan keturunan manusia, namun seruan jahat iblis tidak akan berjaya  kepada orang-orang yang ikhlas kepada Allah. Sifat ikhlas berkait rapat dengan konsep ihsan yang mana menitikberatkan akan kewujudan Allah dalam segenap sudut pekerjaan yang dilakukan. Islam meletakkan semua pekerjaan yang baik adalah ibadah yang dikira ganjaran oleh Allah. Pokok pangkalnya adalah dari hati yang ikhlas.   
Ikhlas dalam Profesion Perguruan

Seorang guru yang ikhlas beriktikad dalam hati untuk mencari mardhatillah. Kemuliaan seorang guru apabila menjalankan tugasan dengan tulus ikhlas, jujur dan bertanggungjawab. Guru mempunyai niat yang ikhlas akan mengajar murid ilmu-ilmu yang baik, mendidik ke arah kecemerlangan , membimbing dengan sepenuh daya  dan memberi tunjuk ajar yang berguna. Dalam profesion perguruan, ikhlas adalah sifat yang perlu disemai dalam setiap diri guru agar dapat menjauhi sifat-sifat mazmumah. Contohnya, bersifat hasad dengki, mementingkan diri dan individualistik. Guru yang ikhlas akan sentiasa menjaga keharmonian sekeliling ditempat kerja, bekerja dalam keadaan tenang, membantu rakan sekerja apabila diperlukan, memberikan persembahan yang terbaik kepada pelajar dan mempunyai ketahanan yang tinggi kepada segala bentuk ujian dalam menjalankan tugas. Ikhlas menjadi penawar mujarab untuk menghilangkan sifat-sifat buruk  dalam diri.


Guru melakukan tugas dengan rela hati mengikut kemampuan guru tersebut adalah sebahagian dari ikhlas dalam pekerjaan. Tugasan ini diangap sebahagai sumbangan kepada institusi dan pelajar yang tidak mengharapkan apa-apa balasan dari orang lain. Contohnya seorang guru menjalankan kelas tuisyen secara percuma pada waktu lapang, menjemput pelajar datang ke rumah untuk mengulangkaji pelajaran, melakukan tugas selain dari tugas hakiki di sekolah dan sebagainya.  Selain itu, guru yang ikhlas akan sentiasa memastikan setiap tugasan yang diterima dijalankan dengan sempurna berlumba menjadikan yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Contohnya guru di sekolah menyiapkan markah ujian murid secepat mungkin dengan sempurna dan dihantar kepada pihak pentadbir pada masa yang ditetapkan.   Apa yang bermain dalam fikiran guru ini adalah segala kebaikan yang dibuat akan kembali memberi kesan kepada dirinya sendiri kelak. Menjadikan setiap pekerjaan adalah ibadah adalah kunci kepada keikhlasan dan redho  Allah. Apabila jiwa seorang guru ikhlas, nescaya Allah akan  mempermudahkan pelajar menerima ilmu yang diajarkan.           

No comments:

Post a Comment